NGO Melayu makin dapat kepercayaan – Dr. M
Kemunculan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kepentingan Melayu dan Islam kebelakangan ini membuktikan kaum itu kurang yakin dengan perjuangan parti-parti politik yang mewakili mereka.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, situasi itu juga menyebabkan sesetengah NGO tersebut dilihat semakin aktif dari semasa ke semasa.
Dengan mengambil contoh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), beliau berkata, NGO itu dilihat sebagai antara yang paling berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu kerana prinsip perjuangannya.
”Ada di kalangan masyarakat Melayu merasakan UMNO tidak lagi berupaya mempertahankan (kepentingan) mereka, jadi kita lihat kemunculan NGO seperti Perkasa.
”Walaupun mereka (Perkasa) aktif, namun (sebenarnya) UMNO masih lebih berpengaruh daripada NGO-NGO ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah pada program Bicara Perdana anjuran Perpustakaan Negara di sini hari ini.
Dr. Mahathir menjelaskan, perjuangan dan kepentingan bangsa Melayu perlu diutamakan kerana kaum itu merupakan kelompok majoriti di negara ini.
Sekiranya kepentingan Melayu tidak dijayakan, tegasnya, ia akan memberi kesan buruk kepada semua pihak di tanah air.
”Sekiranya perjuangan Melayu tidak dijayakan, maka perjuangan bangsa Malaysia juga tidak akan terlaksana,” ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya bertajuk ‘Sejarah Sebagai Gedung Pengalaman dan Khazanah Yang Bernilai’, Dr. Mahathir berkata, masyarakat serta pemimpin negara ini perlu sentiasa mengingati insiden-insiden yang telah dilalui.
Sebagai contoh, dalam sesuatu perjanjian dengan pihak luar, tegasnya, para pemimpin negara harus memastikan ia tidak merugikan tanah air.
”Janganlah dalam sesuatu perjanjian itu kita kerugian dan kerugian itu pula kekal sehingga akhirat,” tegasnya.
1 comment:
Adakah benar pertubuhan ini dianggotai oleh ahli-ahli Umno yang tidak berpeluang untuk naik pangkat di dalam parti itu?
*
-angguk-angguk geleng-geleng-
Post a Comment